Pages

Malaysia Web Hosting

Sunday, June 13, 2010

Arab Tidak Bersatu - Takut Pengganas Zionist


KENAPA Israel begitu berani menyerang dan membunuh rakyat Palestin. Jawapannya semua orang tahu. Negara-negara Arab tidak bersatu dan lemah dalam serba-serbi. Mereka berpecah belah berdasarkan kepada kepentingan nasional masing-masing. Malahan ada yang sanggup bersekongkol dengan Israel atas dasar kepentingan bersama.

Lantaran itu tidak hairanlah sekiranya rakyat Arab menuduh negara-negara konservatif Arab seperti Mesir, Jordan, Arab Saudi dan Palestinian Authority (PA) bersekongkol dengan Israel dalam serangan ke atas Semenanjung Gaza. Israel seolah-olah menjadi proksi pemimpin-pemimpin Arab yang bermusuhan dengan Hamas.

Presiden Hosni Mubarak, Mesir tanpa berselindung menyalahkan Hamas sebagai punca kepada serangan Israel. Mahmoud Abbas pula mendakwa Israel tidak akan menyerang sekiranya Hamas bersetuju dengan gencatan senjata. Malahan Menteri Luar Arab Saudi, Saud Al Faisal ketika berucap di mesyuarat tergempar Liga Arab juga menyalahkan Hamas.

Sayangnya mata mereka seolah-olah kabur dengan tindakan-tindakan Israel yang terus menerus memperketatkan sekatan ekonomi dan serangan-serangan ke atas Gaza dalam masa gencatan senjata. Hamas mendakwa serangan roket sebagai tindak balas terhadap sekatan ekonomi dan serangan-serangan Israel yang mengorbankan banyak nyawa.

Nampaknya negara-negara konservatif Arab lebih senang sekiranya Israel menghancurkan Hamas meskipun ramai rakyat Palestin yang menjadi mangsa. Segala-galanya berpunca daripada dakwaan wujudnya hubungan akrab Hamas dengan Iran dan dakwaan Hamas sebagai kumpulan pengganas.

Seperti mana penulis pernah katakan tragedi Palestin yang berterusan berpunca daripada sikap pemimpin-pemimpin Arab sendiri. Ada antara mereka yang bersifat 'gunting dalam lipatan'. Mubarak tanpa rasa bersalah dengan garang memberitahu dunia bahawa Mesir tidak akan membuka pintu sempadan Rafah selagi Hamas berkuasa di Gaza. Sepatutnya siapa yang memerintah Palestin adalah hak rakyat Palestin untuk menentukannya.

Kini sudah wujud dua identiti Palestin. Semenanjung Gaza di bawah Hamas dan Tebing Barat dikuasai Fatah. Mahmoud Abbas sebagaimana juga Israel enggan menerima hakikat yang Hamas memenangi pilihan raya tahun 2006 meskipun diiktiraf sebagai bebas oleh Yayasan Carter yang diterajui oleh bekas presiden Jimmy Carter.

Ekoran daripada permusuhan ini serangan Israel ke atas Gaza bukan dianggap sebagai serangan ke atas negara Palestin, sebaliknya serangan ke atas Gaza yang dikuasai Hamas. Lantaran itu Abbas bukan sahaja mengkritik Hamas sebagai punca serangan, sebaliknya menggunakan polis menghalang penduduk-penduduk Tebing Barat melancarkan tunjuk perasaan terhadap Israel.

Setiap kali berlaku pertumpahan darah antara Palestin dan Israel umat Islam termasuk di Malaysia amat kecewa dan marah. Ramai yang menyalahkan Israel, Amerika Syarikat (AS) dan sekutu-sekutu Israel di Eropah. Tetapi tidak tergamak menyalahkan negara-negara Arab. Mungkin kerana tidak mahu mengecilkan hati orang Arab atau bimbangkan tindak balas negara-negara Arab yang kaya.

Tetapi kini rakyat Arab sudah ada yang berani menyalahkan kerajaan masing-masing umpamanya di Mesir. Meskipun kerajaan Mesir mengecam Hamas tetapi tidak rakyatnya. Ini satu perkembangan yang menarik. Paling penting rakyat mahukan perubahan dasar.

Sebenarnya Israel tidak berani mengangkat kepala sekiranya negara-negara Arab bersatu dan mengambil tindak balas. Bayangkanlah lebih 320 juta umat Arab dibandingkan dengan enam juta rakyat Israel. Tetapi negara-negara Arab berpecah belah dan ada antara pemimpinnya yang tidak mempunyai semangat Arab - sanggup 'menyusu kera di hutan'.

Selama ini pemimpin-pemimpin Islam termasuk dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) terlalu bermain ayat-ayat diplomasi. Tidak mahu berterus terang. Mungkin takut mengecilkan hati "BIG BROTHER" - ISRAELlah...


Tetapi sampai bila? Apakah sehingga rakyat Palestin pupus dari bumi.
Sejarah membuktikan bahawa negara-negara Arab dan Turki mencapai tamadun tertinggi dan ketenteraan terkuat di dunia ketika diperintah oleh kerajaan Islam.
Mungkinkah kerana 'label' Islam membuatkan beberapa pihak tertentu takutkan Hamas. Tetapi mengikut laporan berita, sebahagian besar pemimpin Hamas terdiri daripada profesional dan bukannya fanatik Islam.

Paling mendukacitakan pemimpin- pemimpin negara-negara Islam tidak dapat menyelesaikan masalah yang melibatkan umat Islam. Punca utamanya politik dan kuasa. Perkara ini terjadi di mana-mana, bahkan di Malaysia sendiri. Hinggakan demonstrasi-demonstrasi berkaitan isu Palestin dianjurkan berasingan berdasarkan parti politik.

Apakah umat Islam tidak lagi bersaudara?